“Tarian Bulan”
Siri Ikatan Darah Buku 1
Amy Blankenship, RK Melton
Disunting oleh Tracy Murray
Diterjemah oleh Yuni Nuraini Roslan
Hak Cipta © 2012 Amy Blankenship
Edisi Kedua Diterbitkan oleh TekTime
Hakcipta Terpelihara.
Taman Negara Angeles adalah rumah bagi kugar yang berbahaya dan jaguar import yang berkeliaran di hutan yang luas itu. Kadangkala, pada malam yang terang, bilangan mereka bertambah apabila haiwan jadian LA, atau pengubah bentuk seperti yang dikenali dalam dongeng rakyat, merayau-rayau di kalangan saudara-mara jauh mereka di tanah yang tak bertuan ini. Pada malam-malam seperti inilah penghuni sebenar hutan akan tetap berada di sarang masing-masing sementara pemangsa dari bandar menjajah teritori mereka, cukup lama untuk memburu, atau jarang sekali berlaku, menyelesaikan perbalahan yang tidak dapat diselesaikan di kawasan yang dihuni manusia.
Tiada yang lebih ganas daripada pergaduhan yang berlaku antara haiwan-haiwan jadian itu dan, jika salah satu dari mereka tercedera, ianya sama berbahaya kepada sisi manusia yang juga menjadi sebahagian dari sisi haiwan dalam diri mereka. Untuk melindungi manusia di tempat mereka tinggal bersama, masalah dalam kalangan makhluk jadian, seboleh mungkin, diselesaikan di luar kawasan yang dihuni manusia dan tempat terbaik adalah di hutan dalam, tempat asal medan perburuan.
Malam ini, hutan itu menjadi sunyi sepi kerana dua pemilik kelab terbesar di bandar berada di tanah terbiar itu, melepaskan pakaian ditubuh mereka dan membiarkan haiwan dalaman mereka bebas keluar. Malam ini mereka memburu kubur pontianak yang mampu memusnahkan mereka berdua.
Di hutan dalam di mana tiada manusia dapat mendengarkan mereka, Malachi, ketua puak kecil jaguar, memecut membelah kegelapan malam menuju ke arah musuhnya… seorang lelaki yang tidak patut dipercayai melebihi sahabat baiknya sendiri. Sasarannya ialah satu lagi pengubah bentuk lain, yang ini dengan darah kugar mengalir dalam tubuhnya, Nathaniel Wilder… rakan kongsi perniagaannya sepanjang 30 tahun lepas.
Malachi tiba di kawasan lapang di tengah hutan hanya untuk menemui Nathaniel yang berdiri di situ menanti kedatangannya dalam bentuk manusia. Mengambil beberapa langkah ke hadapan, ianya seperti melangkah dari satu bentuk kepada bentuk yang lain apabila Malachi bertukar semula kepada bentuk manusianya. Kedua-dua mereka berbahaya tidak kira dalam apapun bentuk perubahan mereka. Sebagai manusia, mereka berdua sangat cergas dengan otot seperti besi yang kelihatan tegang di bawah kulit yang lembut. Makhluk jadian ini lambat menua dan kedua-dua lelaki itu kelihatan seperti usia 30-an sedangkan mereka sebenarnya sudah memasuki usia 50-an.
Jika ini sebuah filem Hollywood, ia akan mengambil masa beberapa minit untuk berubah secara kasar, tapi ini adalah realiti dan tiada raksasa kelaparan di hutan lapang ini. Berdiri tanpa surat benang bukanlah sesuatu yang aneh bagi pengubah bentuk dan bulan memantulkan cahayanya seolah-olah lampu limpah yang menembusi timbunan awan di langit ke atas mereka.
“Kita tak perlu pun sampai ke tahap ini,” kata Nathaniel, tidak berganjak sementara dia cuba untuk memujuk sahabatnya. “Dengar cakap aku! Dah tiga puluh tahun perkara itu berlaku dan banyak perkara dah berubah… Aku dah berubah.”
“Tiga puluh tahun yang penuh penipuan!” Malachi memetir, suaranya bergema memenuhi segenap kawasan lapang itu. Pandangannya disorot ke tempat di mana dia menguburkan Kane dan matanya terasa pedih akibat dari airmatanya yang bergenang. “Sebab engkau, aku terpaksa mengikatnya dengan tanah ini… sebab engkaulah aku ditinggalkannya selama tiga puluh tahun!”
“Aku takkan benarkan kau gali semula kubur dia, Malachi! Engkau tahu apa akan berlaku kalau kau lakukannya,” Nathaniel melihat dengan penuh debaran apabila Malachi merenung penuh kerinduan ke arah kubur lelaki yang pernah menjadi sahabat baiknya satu masa dulu. Dia tak akan pernah faham. Kane ialah seorang pontianak dan sangat berbahaya.
Kane jugalah salah satu daripada dua perkara yang menjadi penghalang dalam menjalinkan hubungan antara puak jaguar dan puak kugar… Kane dan isteri Malachi yang cantik, menggoda dan curang itu, Carlotta. Nathaniel telah jatuh cinta kepadanya terlebih dahulu. Bukan niatnya untuk perkara ini jadi begini. Akhirnya, Nathaniel terpaksa menyelesaikan masalah itu dalam keadaan amukan cemburu… membunuh dua ‘burung’ sekaligus.
“Dia kawan baik aku dan dia tak pernah mengkhianati aku! Engkaulah yang tikam aku dari belakang!” Malachi mengerdipkan matanya, menghilangkan airmata yang terbit akibat kemarahannya, kemudian dia menyentuh subang yang dipakainya; subang kepunyaan Kane. Apa yang telah dia lakukan? Bila dia mendapati Kane membongkok di atas mayat isterinya, dia terkedu dalam kekeliruan, sehinggalah Nathaniel mengesahkan yang Kane ialah pembunuhnya.
Isterinya telah mati disini, di hutan lapang ini, jadi dia fikir memang tepat tindakannya mengikat Kane dengan tempat ini… dalam tanah ini. Bahkan dia mencuri buku jampi milik Kane dan menggunakannya untuk menentang tuannya sendiri untuk membalas dendam.
Ya, Nathaniel memang benar tentang satu perkara. Kebanyakan pontianak adalah jahat, tapi ada beberapa yang terkecuali dan Kane salah seorang daripadanya. Tapi tiada yang lebih kejam berbanding apa yang dia sendiri telah lakukan. Jampi ini hanya boleh diterbalikkan oleh teman sejiwa Kane.
Malachi fikir ianya kelakar pada masa itu kerana Kane tidak menua dan tidak pula pernah bertemu dengan teman sehati sejiwanya. Pada masa lalu, dia dan Kane sering bergurau tentangnya, mengatakan yang wanita itu tak mungkin dilahirkan. Mindanya mengimbas kembali memori senyuman Kane sambil dia berkata, ‘tuhan mesti ada rasa lucu jika Dia mencipta wanita yang boleh tahan dengan kerenahnya.’
“Dah terlalu lama dia ada di bawah sana.” Nathaniel memberi amaran. “Dengan nafsu darah dan kegilaan yang mengasai dirinya… kalau kau bebaskan dia sekarang, dia akan bunuh kita berdua.”
Malachi tersentak dan merenung tajam ke arah Nathaniel. “Dia hanya perlu bunuh aku seorang sebab masa itu kau memang dah pun mati.”
Dengan ugutan itu, maka kedua-dua lelaki tadi sekali lagi berubah ke bentuk haiwan mereka.
*****
Di pinggir tapak perkhemahan berhampiran kawasan permainan Tabatha King, atau Tabby seperti yang dipanggil oleh semua orang, duduk di tangga karavan besar milik orang tuanya sambil mendongak ke langit memandang bintang-bintang di langit yang mengintai di sebalik awan tebal. Dia meniup rambut depannya yang terjuntai menutupi matanya, gembira kerana akhirnya hujan telah berhenti.
Ini adalah kali pertama dia berkhemah dan perkara terakhir yang ingin dilakukannya adalah duduk terperuk dalam RV ini. Dia begitu teruja tentang perkhemahan ini dan bertambah gembira apabila mereka bersetuju untuk membawa bersama anjing kecil keluarga mereka, Scrappy. Berkali-kali dia memujuk dan merayu ibubapanya untuk memberi keizinan, tapi selepas dia berjanji akan menjaga sahabat baik kecilnya itu, seekor anak anjing baka Yorkie, akhirnya dia berjaya memenangi hati ibubapanya yang ragu-ragu itu.
Scrappy menyalak di luar dalam kegelapan, berlari berpusing-pusing di sekeliling tali cawaknya, mahu mengejar bayang-bayang yang telah menarik perhatiannya. Gadis kecil itu tersentak apabila Scrappy tiba-tiba terlepas dari tali cawaknya dan lari menyembunyikan diri. Tabby berdiri di tangga besi apabila anak anjingnya berlari pantas melalui sebuah lubang kecil di bawah pagar yang memisahkan tapak perkhemahan dengan kawasan permaianan.
“Scrappy jangan!” Tabby menjerit dan berlari mengejar anjingnya. Ibu dan ayahnya telah memberi kepercayaan pada Tabby untuk tidak membiarkan anjingnya hilang. Berhenti di tepi pagar, dia menghela nafas sambil merenung ke arah kegelapan kawasan yang dilitupi pokok itu. “Saya bukan pengecut.” Dia menggigit bibir bawahnya dalam keazaman sebelum melutut untuk menyiasat lubang bukaan itu.
Читать дальше